Tuesday 3 July 2012

Nisfu Syaaban kembali lagi,
Ia datang tampa kita sedari,
Mendekatkan diri kepada Ilahibuat 
Buat bekalan di akhir nanti,

Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu Syaaban dalambahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.Wtidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yangg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makhruf dan nafi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib)FADHILAT BULAN SYAABANDi antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
  • Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
  • Bertaubat
Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhirKhamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.Sabda Nabi s.a.w.: “Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi:“Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.

PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN

Mengenali bulan Syaaban tanpa mengetahui peristiwa penting yang berlaku di bulan Syaaban terasa tidak lengkap. Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan Syaaban. Antaranya ialah malam Nisfu Syaaban, penukaran arah kiblat, dan peperangan bani Mustaliq. 

Monday 19 March 2012

Akikah Dan Kurban Di Makan Bukan Muslim


 Pendapat yang tepat ialah selagi mana seseorang kafir itu tidak memerangi Islam maka boleh diberikan kepada mereka daging kurban atau akikah kerana tiada dalil yang melarang perkara ini. Bahkan kita digalakkan berbuat baik kepada mereka dengan harapan mereka tertarik kepada Islam.
Firman Allah dalam Surah al-Mumtahanah: 8-9: (maksudnya) Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Memilih Janda Atau Anak Dara


. Islam tidak pernah memandang hina kepada golongan janda. Bahkan RasululLah s.a.w isteri-isteri baginda hampir kesemuanya janda. Poligami yang dianjurkan oleh Islam juga antara kebaikannya membantu golongan janda yang kehilangan suami.
Namun begitu dari segi keutamaan, jika di hadapan seseorang lelaki ada pilihan antara seorang janda dan anak dara yang kedua-dua sama baik dari semua sudut, melainkan yang seorang anak dara dan seorang lagi janda, maka diutamakan anak dara.
Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi s.a.w. yang menggalakkan berkahwin dengan anak dara. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan Ibn Majah dengan sanadnya yang hasan: (maksudnya) : “Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Ini kerana mereka lebih baik perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih redha dengan yang sedikit”.
Maksud hadis di atas ialah oleh kerana anak dara belum pernah bergaul dengan lelaki, maka biasanya sifat kasar mereka itu kurang. Peluang memperolehi anak lebih luas disebabkan biasanya mereka lebih muda atau tidak terdedah kepada masalah kelahiran sebelumnya yang mungkin menghalang mereka untuk terus melahirkan anak. Juga mereka lebih redha dengan yang sedikit di sudut pemberian lelaki, atau kehebatan hubungan seks. Ini kerana mereka belum ada pengalaman untuk dibuat perbandingan. Faktor ini boleh menyebabkan rumahtangga lebih bahagia dan mesra.
Namun begitu, ada keadaan tertentu, mungkin janda lebih baik daripada anak dara. Ini seperti apabila janda tersebut lebih kuat pegangan agamanya. Ini akan menyebabkan segala ciri-ciri baik yang membawa kebahagiaan rumah tangga ada padanya. Maka janda boleh menyaingi anak dara dengan kekuatan agamanya.
Juga ada kalanya janda lebih baik berdasarkan kepada hajat lelaki yang inginkan janda untuk kebaikan tertentu. Seperti dia ingin wanita yang lebih matang, atau janda berkenaan lebih dapat menjaga anak-anaknya disebabkan faktor-faktor tertentu.
Oleh itu dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim: Kata Jabir: Ayahku mati, meninggalkan tujuh atau sembilan anak perempuan (periwayat kurang pasti). Aku mengahwini seorang wanita janda. RasululLah S.A.W telah bertanya kepadaku: “Engkau telah kahwin wahai Jabir ?” . Jawabku : Ya !. Baginda bertanya : “Anak dara atau janda?”.Jawabku : “Janda”. Sabda baginda: “Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa”. Aku kata kepada baginda: “Sesungguhnya `Abd Allah telah mati dan meninggalkan anak perempuan. Aku tidak suka aku mendatangkan kepada mereka orang yang seperti mereka, maka aku pun kahwin dengan seorang wanita yang dapat mengatur dan menguruskan mereka” Baginda bersabda : “Semoga Allah memberkatimu” atau baginda menyebut sesuatu yang baik.
Hadis ini dan sebelumnya menggambarkan tujuan galakan Nabi s.a.w untuk memilih anak dara adalah demi kemesraan dan kebahgiaan rumahtangga. Namun jika seseorang ada alasannya yang tersendiri, di mana pemilihan janda itu membawa kebaikan tertentu kepadanya, maka itu adalah haknya. Dengan itu Nabi s.a.w tidak membantah setelah Jabir r.a. memberikan alasannya. Bahkan baginda mendoakan untuk Jabir kebaikan.
Begitu juga seseorang wajar mengahwini janda untuk memberikan pertolongan kepadanya, seperti janda yang kehilangan suami sedangkan dia tanpa tempat bergantung. Ini terutama bagi janda yang berasal daripada keluarga bukan Islam atau negara yang jauh. Jika perkahwinan itu mempunyai hasrat menyelamatkan agamanya, itu adalah kebaikan. Ini kerana baginda Nabi s.a.w juga mengahwini sebahagian janda demi menolong mereka.

Friday 16 March 2012

PENGERTIAN AJARAN SESAT



Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.
SEBAB-SEBAB KEMUNCULAN AJARAN SESAT
Terdapat individu yang mempunyai kepentingan diri seperti untuk mendapatkan kedudukan, harta, dan sebagainya.
Terdapat golongan yang ingin melemahkan ajaran Islam dengan memesongkan akidah orang Islam.
CIRI-CIRI AJARAN SESAT
  1. Mencemarkan kesucian Al-Ouran dan hadis seperti memansukh, mengubah, mempertikai, atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap Al-Quran dan hadis. Contohnya kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitab sucinya Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi.
  2. Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai.
  3. Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Oadiani.
  4. Menolak perkara yang qat'ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai.
  5. Mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai.
  6. Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah.
  7. Mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi, wali, dan malaikat.
  8. Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah S.W.T. seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia di dalam doa atau jampiansebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.
  9. Menolak hadis mutawatir atau hadis secara umum seperti golongan anti hadis


Sebarkan Bahagia ( Blog Fatimah Syarha ): KOMBINASI CINTA

Sebarkan Bahagia ( Blog Fatimah Syarha ): KOMBINASI CINTA: Moga kalian yang kami hargai menemui novel kami di Pesta Buku Antarabangsa 2012 :) Kombinasi Novel CINTAKU KERANA AGAMAMU (Dr. Farhan H...

PENGERTIAN UMUM AKIDAH


PENGERTIAN  UMUM  AKIDAH

AKIDAH DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH.

Asal perkataan akidah ialah dari perkataan arab iaitu ‘aqidah .
Akidah;
-Dari segi bahasa bererti : Kepercayaan yang kukuh didalam hati atau simpulan iman atau pegangan yang kuat atau satu keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat .
-Dari segi istilah bererti : Kepercayaan dan keyakinan yang mantap terhadap Allah S.W.T.  dan tidak mudah terurai oleh mana-mana pengaruh sama ada dari luar atau dalam diri seseorang itu.

AKIDAH MENURUT SYARAK DAN PANDANGAN ULAMA
Pengertian akidah menurut syarak pula ialah beriman dengan kewujudan dan keesaan Allah S.W.T. serta beriman dengan nama-namaNya dan sifat-sifatNya juga beriman dengan para Rasul, kitab-kitab Allah, Hari Akhirat dan menerima ketentuan Allah sama ada baik atau buruk serta apa jua yang datang dari Allah.
  Menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Ubudiyyah, menerangkan bahawa makna asal ibadah ialah kehinaan .
Manakala menurut seorang Ahli Tafsir , iaitu At-Tabari, menjelaskan bahawa ibadah kepada Allah ialah khushu’ dan tawaddhu’ iaitu tetap hati dan merendah diri kepada Allah S.W.T.


ILMU AKIDAH

Ilmu yang membicarakan tentang perkara-perkara yang berkaitan keyakinan terhadap Allah S.W.T.  dan sifat-sifat kesempurnaanNya..
Setiap umat Islam wajib mengetahui, mempelajari dan mendalami ilmu akidah supaya tidak berlaku perkara-perkara yang membawa kepada penyelewengan akidah kepada Allah S.W.T. seperti murtad , terpengaruh ajaran sesat  , syirik atau menduakan Allah dan seumpamanya.
Menurut kesepakatan ulamak , akidah sebenar adalah akidah yang berdasarkan atau berteraskan pada Al-Quran dan As-Sunnah.

PEMBAHAGIAN ILMU AKIDAH
Pembahagian ilmu akidah dalam Islam dan pengertian secara ringkas.
Ilmu akidah terbahagi kepada beberapa cabang ilmu;    
      1.     Ilmu Tauhid: Ilmu yang menerangkan tentang sifat Allah S.W.T.  yang wajib diketahui dan dipercayai menggunakan dalil naqli dan dalil aqli.
      2.     Ilmu Usuluddin: Ilmu yang membicarakan tentang dasar-dasar  kepercayaan dalam agama Islam, iaitu kepercayaan kepada Allah S.W.T. dan RasulNya.
      3.     Ilmu Makrifat: Suatu ilmu yang membahaskan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan cara-cara mengenal Allah S.W.T.
      4.     Ilmu Kalam: Sesuatu ilmu yang membahaskan tentang akidah dengan dalil-dalil aqliah (ilmiah) sebagai hujah dan perisai terhadap segala tentangan daripada pihak lawan.
      5.     Ilmu Akidah: Suatu ilmu yang membahas tentang perkara-perkara yang berhubung dengan keimanan kepada Allah S.W.T.


DALIL TENTANG AKIDAH

Terdapat banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menyentuh tentang akidah . Antaranya:


1.     الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Mafhumnya:
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam”.
( Surah Al-Fatihah : ayat 2 )

Ayat di atas menerangkan tentang kepercayaan kepada Allah sebagai Tuhan yang memiliki semesta alam.


2.     مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
Mafhumnya:
Yang menguasai di Hari Pembalasan
(Surah Al-Fatihah:ayat 4)
Ayat di atas adalah berkaitan dengan percaya terhadap kekuasaan Allah S.W.T. dan percaya kepada Hari Akhirat.

3.     قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ . مَلِكِ النَّاسِ . إِلَهِ النَّاسِ   

Mafhumnya :
Katakanlah: "Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia. Raja manusia. Sembahan manusia.



KEPENTINGAN MEMPELAJARI ILMU AKIDAH

Antara beberapa kepentingan mempelajari ilmu akidah termasuklah:
1.     Supaya terhindar daripada  ajaran-ajaran sesat yang akan merosakkan akidah seseorang terhadap Allah S.W.T.
2.     Meneguhkan keimanan dan keyakinan kepada sifat-sifat kesempurnaanNya.
3.     Memantapkan akidah seseorang supaya tidak terikut dan terpengaruh dengan amalan-amalan yang boleh merosakkan akidah.
4.     Kiraan dan Timbangan Amalan. Antaranya perkara yang akan dialami oleh manusia di akhirat ialah hisab dan timbangan amalan.
5.     Balasan syurga dan neraka. Berdasarkan dalil-dalil al-Quran menunjukkan bahawa orang yang amalan baiknya banyak sehingga memberatkan timbangan amalan baik ia akan dimasukan ke dalam syurga, manakala mereka yang sebaliknya akan dimasukkan ke dalam neraka.
6.     Dapat mengeluarkan hujah-hujah yang boleh mematahkan hujah daripada pihak lawan yang cuba memesongkan akidah seseorang.

KEPENTINGAN AKIDAH DALAM KEHIDUPAN MANUSIA
      1.     Akidah sebagai asas kehidupan.
      2.     Akidah sebagai penentu atau pendorong.

PENYELEWENGAN DAN KEROSAKAN AKIDAH
Penyelewengan akidah umumnya berlaku melalui:
      1.     Percakapan atau ucapan.
      2 .     Perbuatan
      3.     Iktikad dalam hati.

PEMBINAAN AKIDAH

      1.     Memahami konsep Islam yang sebenar dan memahami konsep akidah secara khusus.
      2.     Membersihkan hati dengan cara meninggalkan larangan dan melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah S.W.T.
      3.     Sentiasa berjihad melawan nafsu dan bisikan syaitan untuk beriltizam dengan agama Islam.
      4.     Bersama-sama dengan orang yang soleh dan sentiasa mencari suasana dan kehidupan yang baik serta tenang.
      5.     Sentiasa berdoa memohon petunjuk Allah S.W.T.
      6.     Bertawakal kepada Allah S.W.T.


Secara keseluruhannya, konsep akidah amat mudah dipelajari dan difahami umumnya kepada sesiapa yang ingin mengamalkan akidah secara istiqamah atau berterusan. Secara tidak langsung, masyarakat yang mengamalkan konsep akidah yang betul akan melahirkan sebuah negara yang tinggi ilmu, amal dan akhlaknya.